Pengenalan
Gamat
yang juga dikenali sebagai Timun Laut atau Sea Cucumber merupakan
sejenis hidupan laut daripada kelas Holothurioidea. Terdapat pelbagai
spesis gamat, antaranya Sticophus variegatus, Holothuria atra dan
Thelenota ananas. Gamat merupakan spesis tidak bertulang dan mempunyai
badan yang lembut. Kepelbagaian bentuk silinder yang dimilikinya adalah
menyerupai tumbuhan daratan timun, maka tidak hairanlah ia digelar Timun
Laut.
Secara
amnya, Timun Laut boleh membesar daripada beberapa millimeter hingga
mencapai saiz melebihi dua meter panjang. Spesis ini terdiri daripada
pelbagai kombinasi warna seperti putih, hitam, merah dan biru. Hidupan
laut ini, mempunyai taburan habitat yang luas di seluruh dunia termasuk
di perairan Malaysia, seperti Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Terumbu
karang merupakan habitat utama hidupan ini.
Di
Malaysia, masyarakat Melayu mengenalinya sebagai gamat yang mana ia
amat sinonim dengan perubatan tradisional Melayu. Gamat akan disediakan
daripada sumber mentah sebagai hidangan makanan atau diproses untuk
digunakan sebagai perubatan alternatif mahupun untuk tujuan kecantikan.
Gamat yang diproses pula boleh dijadikan minyak untuk penyembuhan luka
atau rawatan penyakit kulit dan juga boleh diminum sebagai tonik
kesihatan. Gamat juga boleh disapu pada wajah dan badan untuk
mendapatkan kulit yang cantik
Masyarakat
Cina pula mengenali gamat sebagai haishen yang membawa maksud Ginseng
Laut. Gamat telah disenaraikan sebagai ramuan perubatan tradisonal dalam
buku Bencao Gangmu iaitu materia medica, hasil tulisan Li Shizhen.
Menurut perspektif perubatan Cina, gamat boleh menyihatkan darah dan
organ penting (jing) termasuk menguatkan buah pinggang (qi). Justeru,
gamat biasa digunakan untuk merawat kelesuan badan dan masalah urinasi.
Gamat juga akan dijadikan hidangan makanan sebagai sumber tenaga dan
adakalanya, ia merupakan salah satu sajian istimewa bagi sambutan
perayaan tertentu seperti sambutan Chinese Spring Festival. Menu gamat
ini adalah dipercayai sebagai simbol panjang umur.
Kandungan
protein dalam gamat boleh setinggi 55%, disamping nutrien lain seperti
mucopolysaccharides (10-16%) dan saponin, manakala kandungan lemak dalam
gamat adalah rendah. Mucopolysaccharides merupakan bahan dalam
pembentukan kartilaj tulang yang amat berguna untuk mengurangkan masalah
sakit sendi. Selain daripada itu, Vitamin E yang terkandung dalam
cecair badan gamat mempunyai aktiviti antioksida yang berfungsi dalam
sistem pertahanan badan. Ini akan mengurangkan risiko seseorang untuk
dijangkiti penyakit dan dapat mengekalkan kesihatan badan.
Gamat Sebagai Produk Tradisional Di Malaysia
Pada
masa ini, produk yang mengandungi gamat boleh dikategorikan sebagai
makanan atau ubat bergantung kepada persembahan dan tujuan pengambilan
produk. Justeru, keperluan pendaftaran produk tersebut adalah bergantung
kepada klasifikasi produk tersebut sama ada sebagai makanan atau ubat.
Minyak gamat mampu menyembuhkan luka dengan izin Allah
Secara
tradisional, produk berasaskan gamat digunakan sebagai penyembuh luka
dan untuk memulihkan kesihatan badan. Oleh itu, sediaan gamat amat
popular sebagai minuman dikalangan wanita selepas bersalin bagi tujuan
tersebut. Disamping itu juga, produk gamat juga diambil oleh pesakit
yang telah menjalani pembedahan sebagai penyembuh luka. Terdapat juga
gamat yang diformulasikan bersama herba lain sebagai ubat batuk, minyak
urut atau minyak angin.
Sehingga
hari ini, produk berasaskan gamat sentiasa mendapat tempat dikalangan
penggunanya. Walaubagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, produk yang
mengandungi gamat bagi pengambilan secara oral (makan atau minum),
perlu mengandungi maklumat amaran tambahan berikut pada label produk:
‘Please
consult your pharmacist, doctor, or other healthcare providers about
any other supplements / medications you are taking and other health care
problems. There may be a potential for interactions or side effects’.
Pengguna
juga dinasihatkan untuk memastikan spesis gamat yang diambil sebagai
makanan bagi mengurangkan risiko kesan sampingan akibat pengambilan
gamat daripada spesis yang merbahaya.
Gamat Di Peringkat Global.
Kajian
awal menunjukkan bahawa gamat mengandungi nutrien yang boleh berfungsi
sebagai antibakteria, antifungus, antikanser atau antiradang. Ini
menunjukkan bahawa, gamat mempunyai kegunaan yang meluas dan tidak hanya
terhad kepada penyembuh luka dan kesihatan umum sahaja.
Justeru,
kajian saintifik yang lebih mendalam amat diperlukan bagi membuktikan
bahawa gamat mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan selamat untuk
dimakan, seterusnya dikomersialkan di peringkat tempatan mahupun global.
Adalah menjadi harapan agar gamat atau Timun Laut ini akan terus
bertapak di pasaran dan memberi manfaat berterusan terhadap
kesejahteraan kesihatan sejagat.
Sumber Rujukan :
http://www.myhealth.gov.my/gamat/
Untuk mendapatkan Minyak Gamat Plus Asli Langkawi dengan harga istimewa, sila layari Facebook kami : https://www.facebook.com/GamatAsliLangkawi